Pertandingan Masakan Festival Makanan 1 Malaysia

Peserta dari Kolej Vokasional (ERT) Azizah bersama guru pengiring dan hidangan yang disediakan.


Pada 24 Mei 2014, berlangsungnya Pertandingan Masakan Gaya Hidup Sihat 1 Malaysia bertempat di Tapak Konvo Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pertandingan ini sempena Festival Makanan 1 Malaysia yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM).



Kolej Vokasional (ERT) Azizah telah menghantar 1 kumpulan yang diwakili oleh 3 pelajar dalam memberi cabaran dalam Pertandingan Memasak Gaya Hidup Sihat ini. Pertandingan ini terbuka kepada seluruh universiti dan kolej di Malaysia. Beberapa pasukan lain yang menyertai adalah wakil dari Kolej YPJ, Universiti Malaysia Kelantan, UPSI, UTHM dan pasukan UTM  sendiri.
Juri merasa masakan sambil menemubual peserta.

Walaupun pasukan dari Kolej Vokasional (ERT) Azizah adalah peserta yang termuda, ini tidak menjadi penghalang untuk mereka memberikan saingan sengit dalam pertandingan. Pada awalnya, pasukan kami mahu menyertai pertandingan dalam kategori sekolah namun kategori ini telah dibatalkan kerana kekurangan peserta.

Menu dihidangkan berkonsepkan buffet.

Pasukan Kolej Vokasional (ERT) Azizah telah menyediakan empat masakan yang terdiri dari sejenis hidangan berasaskan karbohidrat, sejenis hidangan berasaskan protein, sejenis hidangan berasaskan sayur-sayuran dan sejenis hidangan pencuci mulut. Hidangan tersebut adalah Nasi Claypot Rasa Sayang Hei, Masam Manis Malaysia, Rangkaian Rasa Malaysia dan Kuih Adoi-adoi.
Hidangan karbohidrat yang dimasak dan dihidangkan terus dari periuk tanah liat.
Setiap masakan mestilah bertepatan dengan konsep asas pertandingan iaitu masakan sihat dan 1 Malaysia. Oleh itu kami memilih nasi sebagai makanan ruji rakyat Malaysia menjadi pilihan karbohidrat kami. Bagaimanapun Nasi Claypot Rasa Sayang Hei bukanlah nasi biasa. Ia dimasak dari beras berkualiti herba ponni yang rendah karbohidrat. Bahan-bahan lain yang digunakan ialah cendawan shitake, minyak zaitun, rempah-rempah popular Malaysia dan sebagainya. Selain itu penggunaan periuk tanah menyerlahkan ciri tradisional negara kita.
Hidangan berprotein adalah gabungan rasa dan teknik masakan dari kaum-kaum utama di Malaysia.

Masam Manis Malaysia pula adalah ayam tanpa tulang dari bahagian dada yang lebih menyihatkan dan diperap bersama herba-herba popular 3 kaum utama di Malaysia. Kemudian ia dimasak cara masyarakat Cina seterusnya dihidang bersama cutney yang terkenal dari masyarakat India. Apa yang menariknya, setiap satunya dibuat dari bahan asas tanpa menggunakan mana-mana produk segera.
Menu sayur-sayuran menggambarkan hidangan sihat 1 Malaysia secara keseluruhan.

Rangkaian Rasa Malaysia pula adalah sayuran dari kategori kerabu yang popular dari masyarakat Melayu tetapi menggunakan bahan dan sayur-sayuran yang melambangkan beberapa kaum di Malaysia seperti akar teratai, pucuk kurma, buah nillikey (buah aamla / buah melaka), dhal masala dan lain-lain. Semua bahan yang digunakan adalah berkhasiat kerana kami menggunakan perasa asli untuk setiap masakan seperti jus kismis untuk menggantikan gula dan sebagainya.
Pencuci mulut walaupun manis namun tidak mengabaikan konsep sihat dan 1 Malaysia.

Kuih Adoi-adoi adalah hidangan yang paling istimewa. Setiap bahan yang digunakan melambangkan kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia. Kuih ini dijangka boleh diterima oleh seluruh penduduk Malaysia. Beberapa individu yang diberi peluang merasainya mengatakan kuih ini sedap dan berbeza dari kuih-kuih lain yang terdapat di negara kita. Kami berharap kuih ini akan menjadi hidangan wajib di Kolej Vokasional (ERT) Azizah yang dapat memberi gambaran baik kepada kolej kami khususnya Unit Seni Kulinari.
Acara penyambaian hadiah dilakukan pada 25 Mei 2014

Hasil pemarkahan yang dibuat oleh juri jemputan, pasukan Kolej Vokasional (ERT) Azizah berjaya meraih tempat ketiga dan membawa pulang wang berjumlah RM300, pingat, sijil serta beberapa hadiah iringan.

Kami merancang untuk menyertai beberapa pertandingan memasak lagi pada tahun ini. Setiap pengalaman yang dilalui akan di kaji untuk memperbaiki setiap kesilapan dan penambahbaikan yang boleh dilakukan.

3 ulasan:

  1. Tahniah Cikgu Norasikin dan team dari KV Azizah...teruskan kecemerlangan....

    BalasPadam
  2. Tahniah Cikgu Norasikin dan team dari KV Azizah...teruskan kecemerlangan....

    BalasPadam

Sila tinggalkan komen yang bernas agar kita sama-sama dapat memperbaiki diri. TQ

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...